Carta Aliran Pembelajaran Berkesan

Carta Aliran Pembelajaran Berkesan

Thursday, January 1, 2009

3,031 pelajar dapat semua A

Oleh HANIZA HASSAN


Keceriaan jelas terpancar pada wajah pelajar bersama pengetua sekolah SMK Mohd. Khalid, Johor Bahru, Sulaiman Abdul Rahman apabila mereka mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan PMR 2008, semalam.


JOHOR BAHRU 30 Dis. - Seramai 3,031 daripada 53,605 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Daripada jumlah itu, seramai 356 pelajar mendapat 9A, 2,348 pelajar mendapat 8A manakala seramai 327 pelajar mendapat 7A.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin berkata, seramai 33,945 calon mencapai sekurang-kurangnya gred D bagi mata pelajaran yang diambil manakala jumlah pelajar yang mendapat gred E ialah 24 orang.

Katanya, daripada aspek kualiti, Gred Purata Sekolah (GPS) pada tahun ini adalah 2.84 mata berbanding tahun lalu iaitu 2.85.

"Pada tahun ini secara keseluruhannya, pencapaian calon adalah sangat membanggakan.

"Calon yang cemerlang tahun ini meningkat sebanyak 453 calon berbanding tahun lalu iaitu 2,578 orang yang mendapat keputusan semua A," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan PMR 2008 di sini hari ini.

Sufaat berkata, pada tahun ini, bukan sahaja jumlah calon cemerlang yang meningkat, tetapi peratusan calon yang lulus atau menguasai serta GPS juga menunjukkan peningkatan.

Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 15 buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus apabila calon-calon sekolah terbabit lulus semua mata pelajaran.

Antara sekolah berkenaan adalah Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Menengah (SM) Sains Johor, SM Sains Kota Tinggi, SM Sains Sultan Iskandar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd. Khalid, SMK Seri Kenanga, SMK (P) Temenggong Ibrahim dan SMK Sultan Ismail.

Bagaimanapun, peratusan murid yang menguasai mata pelajaran Matematik pada gred A, B, C dan D adalah 88.74 peratus iaitu menunjukkan penurunan berbanding purata pencapaian tahun lalu 89.01 peratus, katanya.

"Sementara itu, peratus yang menguasai mata pelajaran Sains pada gred A, B, C dan D pula menunjukkan peningkatan dengan 89.19 peratus berbanding purata pencapaian tahun lalu dengan 88.00 peratus," katanya.

0 Comments: