Carta Aliran Pembelajaran Berkesan

Carta Aliran Pembelajaran Berkesan

Thursday, January 1, 2009

1,789 calon dapat semua

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN


Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaaan Aminuddin Baki yang mencatatkan kelulusan 100 peratus dan merupakan antara sekolah terbaik di Kuala Lumpur meraikan kejayaan mereka, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Dis. – Seramai 1,789 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 di Kuala Lumpur memperoleh gred A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil.

Sejumlah 21,348 calon menduduki PMR di seluruh Kuala Lumpur tahun ini.

Keputusan semua A yang diperoleh itu meningkat sebanyak 90 orang atau 0.42 peratus berbanding tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak berkata, daripada 1,789 calon yang memperoleh semua A itu, seramai 112 calon mendapat 9A, 1,081 (8A) dan 596 (7A).

“Tujuh mata pelajaran PMR iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Pendidikan Islam, Sains, Sejarah, Geografi dan Kemahiran Hidup Bersepadu kekal cemerlang dengan peratusan lebih 90 peratus seperti tahun lalu.

“Bahasa Inggeris pula menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 82.25 peratus pada tahun lalu kepada 84.78 peratus pada tahun ini walaupun mata pelajaran terbabit tidak mencapai kelulusan 90 peratus,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan PMR Tahun 2008 di Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Sulaiman berkata, mata pelajaran bahasa lain yang ditawarkan dalam PMR turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu bahasa Arab, Tamil, Cina dan Punjabi.

“Peningkatan ketara bagi semua mata pelajaran dalam PMR tahun ini banyak bergantung kepada aktiviti dan program yang dianjurkan jabatan serta komitmen tinggi kalangan ibu bapa dan pelajar untuk memperoleh keputusan yang cemerlang.

“Jabatan turut membahagikan calon PMR kepada beberapa kumpulan mengikut tahap pencapaian bagi memastikan kesemua pelajar dididik serta diberi latihan mencukupi terutama golongan yang kurang menonjol dalam akademik,” tambah beliau.

Sementara itu, sekolah yang memperoleh pencapaian terbaik PMR bagi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Hartamas untuk kategori sekolah harian, SMK Aminuddin Baki (kategori sekolah kawalan) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lumpur (kategori sekolah berasrama penuh).

Pengetua SMK Aminuddin Baki, Latifah Mahfod berkata, kejayaan sekolah itu memperoleh keputusan penuh 100 peratus setiap tahun adalah hasil kerja berpasukan yang diamalkan antara pengetua, guru, ibu bapa dan para pelajar.

Menurutnya, setiap pengetua yang mengambil alih sekolah itu mempunyai strategi dan perancangan terbaik dalam mengekalkan keputusan akademik sekolah yang cemerlang sejak 1990-an.

“Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini juga aktif kerana ibu bapa pelajar sering bersedia memberi bantuan yang diperlukan sekolah termasuk peruntukan kewangan bagi memastikan program yang dirancang untuk anak mereka berjalan lancar,” katanya.

Jelas beliau, pengurusan sekolah itu juga berusaha sejak dari awal dalam membuat persediaan menghadapi PMR.

Selepas pelajar memperoleh keputusan akhir tahun ketika di tingkatan dua, katanya, beliau dan kakitangan akan membahagikan mereka kepada tiga kumpulan iaitu emas, perak dan gangsa mengikut pencapaian masing-masing.

“Pelajar-pelajar ini kemudiannya akan diajar dengan bersungguh-sungguh terutama kumpulan gangsa yang kurang cemerlang dan setiap pelajar diwajibkan menghadiri setiap program akademik yang dijalankan,” katanya.

Program yang dijalankan itu, kata Latifah, memang berhasil apabila pelajar daripada kumpulan gangsa turut memperoleh keputusan A bagi setiap mata pelajaran yang diambil.

0 Comments: