Carta Aliran Pembelajaran Berkesan

Carta Aliran Pembelajaran Berkesan

Thursday, January 1, 2009

Laporan Keputusan PMR 2008 - UTUSAN MALAYSIA

Pasangan kembar peroleh 8A

SEREMBAN 30 Dis. – Tangisan kegembiraan mengiringi pasangan kembar Suraya Nadzirah dan Suraya Nabilah Izhar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V di sini apabila memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 yang diumumkan hari ini.

Suraya Nadzirah yang bercita-cita menjadi pensyarah berkata, dia dan adik kembarnya sentiasa mengulang kaji pelajaran sekurang-kurangnya dua jam sehari.

Menurutnya, mereka juga tidak tidur lewat pada setiap malam untuk memastikan sentiasa bersedia di dalam kelas.

“Mengulang kaji pelajaran setiap hari adalah penting sekurang-kurangnya dua atau tiga jam bagi memastikan kita benar-benar faham dengan apa yang telah kita pelajari sepanjang hari,’’ katanya ketika ditemui di sekolah tersebut hari ini.

Bagi adiknya Suraya Nabilah yang bercita-cita menjadi pensyarah berkata, dorongan keluarga, guru-guru serta rakan-taulan merupakan satu suntikan semangat bagi mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.

Menurutnya, walaupun berbeza kelas tetapi dia kerap mengulang kaji pelajaran bersama kakak kembarnya bukan sahaja di rumah malah di sekolah.


Lagi kembar dapat 9A

KOTA BHARU 30 Dis. - Sejak tadika sehingga ke sekolah menengah rendah, kedua-dua kembar yang hanya berbeza usia lima minit ini tidak pernah berpisah dalam kelas.

Hari ini kegembiraan dikongsi bersama apabila Fadzleen Shahida dan Fadzreen Shahira Rusli, masing-masing memperoleh keputusan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad Maher di sini memberitahu, keinginan untuk memperoleh keputusan yang baik telah disemai sejak sekolah rendah apabila mereka mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

''Ibu bapa selalu mengingatkan kami ilmu lebih penting daripada harta yang ada, guru-guru dan Pengetua, Wan Mansor Wan Mahmud juga sering menyuntik semangat kepada kami untuk belajar bersungguh-sungguh," ujar Fadzleen Shahida.

Mereka merupakan anak sulung pasangan Rusli Daud, 43, guru di sekolah yang sama dan Wan Suzana Wan Ali, 40, Juruteknik Kanan Bio Medical di Radicare, Kota Bharu.

Sementara itu adik kembarnya Fadzreen Shahira menambah, mereka berdua mengadakan solat hajat setiap malam agar mendapat keputusan yang cemerlang dan berharap memberi perangsang kepada adik kembar mereka, Mohd. Faisal Izhan dan Mohd. Faisal Izuan, 13, dan Farah Natasha, 8 tahun.


Berjaya biarpun berulang 40km ke sekolah

BALING 30 Dis. - Berulang-alik hampir 40 kilometer setiap hari ke sekolah tidak pernah mematahkan impian Muhammad Shamim Harun, 15, untuk mendapat keputusan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008.

Malah pelajar itu terpaksa menukar bas sebanyak dua kali untuk sampai ke sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Baling (SMB) yang juga bukanlah satu halangan buat dirinya untuk mencapai keputusan cemerlang.

Anak sulung daripada empat beradik ini yang tinggal di Kampung Lalang Mukim Siong di sini merupakan antara dua pelajar Sekolah Menengah Baling (SMB) yang mendapat keputusan 9A yang diumumkan hari ini.

Muhammad Shamim mendapat keputusan A dalam semua subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Pelajar yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri itu mengakui kejayaannya adalah kerana pemerhatian bersungguh-sungguh dalam kelas selain memahami dengan sepenuhnya semasa proses pembelajaran tanpa mengharapkan kelas tuisyen.

"Saya tidak pernah mengikuti kelas tuisyen sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar," katanya.

Tambah Muhammad Shamim, walaupun dia agak letih kerana terpaksa berulang alik setiap hari pada jarak yang jauh tetapi dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan hasilnya berbaloi.

Menurutnya, dia juga sentiasa memastikan jadual belajarnya selepas sekolah tersusun dan ia juga bergantung pada keadaan.

Bapanya, Harun Abu Bakar, 46, yang bekerja sebagai pembantu kesihatan awam di Klinik Kesihatan Kampung Lalang juga begitu gembira dengan kejayaan anaknya itu.

Menurutnya, sebelum ini anak keduanya, Mohd. Shahir, 12, turut memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

"Ini kejayaan berganda buat keluarga saya walaupun tinggal agak jauh dari sekolah," katanya.


Penghidap hyperlexia berjaya

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Muhammad Faiz Danyal Abdul Malik membuktikan penghidap hyperlexia juga boleh berjaya apabila mencatat keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008, yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di sini itu menghidap penyakit tersebut yang menjadikannya terlalu aktif, sukar dikawal dan terkebelakang dalam kelakuan, sejak lahir.

"Setiap hari saya akan memperuntukkan masa selama tiga jam untuk belajar secara berterusan. Walaupun saya menghadapi masalah hyperlexia, namun saya tetap yakin boleh mencapai keputusan cemerlang.

"Walaupun sering menjadi usikan kawan-kawan, mereka juga selalu membantu saya semasa belajar. Guru juga memberikan perhatian yang lebih kepada saya berbanding rakan-rakan lain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolahnya hari ini.

Muhammad Faiz Danyal adalah antara 104 pelajar sekolah itu yang memperoleh 8A dalam peperiksaan PMR 2008.

Ditanya bagaimana dia mengharungi peperiksaan PMR sebelum ini, katanya, dirinya pernah mengalami tekanan sebelum peperiksaan, tetapi semuanya dapat diatasi dengan bantuan ibu dan guru kaunseling.

Ibunya, Khairulliza Ehsan, 44, pula langsung tidak menyangka anak tunggalnya itu akan mendapat keputusan 8A kerana mengetahui masalah yang dihidapinya.

"Saya mengambil keputusan berhenti kerja ketika Faiz darjah satu lagi bagi mengawasi pergerakannya yang terlalu aktif.

"Saya mengawasi pergerakan Faiz setiap hari persekolahan untuk memudahkannya belajar," katanya yang bertugas sebagai pekerja sukarela di perpustakaan sekolah anaknya itu.


Anak tukang cuci dapat 8A

JASIN 30 Dis. - Anak tukang cuci di Hospital Melaka (HM) muncul seorang daripada 879 pelajar di negeri ini yang berjaya memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008, yang diumumkan hari ini.

Nurul Adha Khamis adalah antara 88 calon PMR 2008 dari Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah yang mencatat keputusan cemerlang itu, yang melayakkan sekolah tersebut tersenarai antara tiga terbaik di Melaka.

Menurutnya, walaupun keluarganya hidup dalam serba kekurangan namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

''Sebaliknya kesusahan keluarga mendorong saya belajar bersungguh-sungguh dan saya akan pastikan mendapat keputusan cemerlang juga dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi," katanya.

Anak ketiga daripada sembilan beradik itu ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Tedong Pantai, Merlimau di sini hari ini.

Bapanya, Khamis Harun, 53, hanya berpendapatan RM500 sebulan dan terpaksa membuat kerja sampingan menjual kuih-muih yang dibuat ibunya, Asmah Nasir, 40, kepada rakan sekerja.

Ujarnya, bagi memastikan kesemua anaknya mendapat pendidikan yang sempurna, hampir setiap hari bapanya membawa kuih-muih tersebut untuk dijual di HM.


Anak tukang sapu berjaya catat 9A

KUALA TERENGGANU 30 Dis. - Tekad untuk mengeluarkan keluarga daripada kepompong kemiskinan mendorong Mohd. Firdaus Radzali untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Atas Sultan Zainal Abidin itu mahu mengubah nasib keluarga kerana tidak rela melihat ibu dan ayahnya berterusan bekerja sebagai tukang sapu dan nelayan.

Anak keenam daripada lapan beradik itu menjadikan kepayahan kedua orang tuanya untuk cemerlang dalam pelajaran seterusnya memperbaiki nasib mereka sekeluarga.

''Melihat kepayahan hidup kami, saya menanam tekad untuk berjaya dan ubah kehidupan keluarga," ujarnya ketika ditemui di sekolahnya selepas pengumuman keputusan PMR di sini hari ini.

Mohd. Firdaus yang bercita-cita menjadi doktor memberitahu, belajar secara berkumpulan merupakan cara yang paling berkesan untuk memahami pelajaran.

''Biasanya, saya bersama rakan-rakan sekelas akan berbincang sesama sendiri untuk lebih memahami matapelajaran terutama yang sukar," ujarnya.

Sementara itu, kegigihan mengulang kaji pelajaran dan memberi tumpuan sepenuhnya semasa di dalam kelas, menjadi kunci kepada Wan Nur Fatihah Wan Jaafar, 15, dari Sekolah Menengah Belara, Manir memperoleh 7A.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, selain memberi tumpuan kepada pelajaran, dorongan ibu bapa dan guru termasuk pengetua sekolahnya, Abdullah Mamat memberi inspirasi kepadanya untuk berjaya.


SMKKB catat sejarah

Oleh HAPIZAH AZIZ
PASIR MAS 30 Dis. - Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban (SMKKB) di sini mencatat bilangan calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) teramai di negeri ini yang memperoleh 8A dalam keputusan yang diumumkan hari ini.

Seramai 127 orang daripada 276 calon sekolah harian biasa yang menjadi Sekolah Angkat Menteri Pelajaran itu mencapai kejayaan cemerlang dan tertinggi pernah dicapai.

SMKKB turut tergolong dalam kelompok 10 buah sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus setanding dengan sekolah-sekolah ternama di negeri ini termasuk sekolah berasrama penuh.

Sembilan buah sekolah lagi ialah Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra, SMS Machang, SMS Pasir Puteh, Sekolah Menengah Arab Naim Lilbanat, SMK Ismail Petra, Maktab Sultan Ismail, SMK Zainab 1, SMK Dato' Ahmad Maher dan SMK Kamil Pasir Puteh.

Pengetua SMKKB, Norasimah Abdul Rashid memberitahu, jumlah yang mendapat 7A pula seramai 59 orang, 6A (34 orang), 5A (27 orang), 4A ( 17 orang), 3A (6 orang), 2A (2 orang) dan 1A (4 orang).

''Sejak ditubuhkan pada 2001, sekolah ini menunjukkan peningkatan dalam keputusan peperiksaan antaranya semua pelajar mendapat sekurang-kurangnya 1A," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau percaya, komitmen lebih 70 orang guru dalam melaksanakan program pengajaran dan pembelajaran membantu pelajar mencapai keputusan tersebut.

Sementara itu, dua pelajar cemerlang yang ditemui menyatakan mereka tekun belajar kerana sedar hanya kejayaan dalam pelajaran boleh mengubah corak kehidupan keluarga.

Komitmen dan kegigihan guru dalam menyediakan pelbagai program pembelajaran juga kata mereka turut merangsang ke arah kejayaan yang dicapai.

Muhammad Aizat Che Soh, 15, berkata, peluang belajar tidak disia-siakan kerana bapanya memerah keringat setiap hari untuk menyara keluarga bagi membolehkan anak-anak belajar dengan baik.

''Abah belajar membuat kuih untuk dijual lebih 20 tahun lalu dan wang yang diperoleh membiayai persekolahan kami adik-beradik," ujar anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Katanya, dia mahu menghadiahkan kejayaannya itu kepada bapanya, sebelum mendapatkan kecemerlangan lain pada masa hadapan.

Nurul Amira Mohd. Izani, 15, juga terharu berjaya memperoleh 8A dalam peperiksaan PMR setelah menjadikan kesusahan hidup sebagai pemangkin untuk mencatat kejayaan cemerlang.

Katanya, ayahnya hanya bekerja sebagai tukang rumah untuk menyara lapan adik-beradik manakala ibunya hanya seorang suri rumah.

''Ayah membanting tenaga mengambil upah membuat rumah untuk perbelanjaan keluarga," katanya.

Walaupun perbelanjaan seharian terhad tetapi Nurul Amira bersyukur kerana mendapat biasiswa daripada kerajaan yang membantu meringankan beban persekolahannya, begitu juga kakaknya yang belajar di SMK Kangkong.


Bapa tidak sempat lihat kejayaan

ALOR GAJAH 30 Dis. - ''Hari ini merupakan detik bersejarah dan paling gembira buat saya tetapi sayang, ayah tidak berada bersama untuk berkongsi kegembiraan ini,'' kata Mohammad Muazam Abdul Mutalib, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat.

Pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sekolah itu memperoleh A dalam semua subjek yang diambil iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Sejarah, Matematik, Geografi, Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan Kemahiran Hidup.

Mohammad Muazam ketika ditemui bersama ibunya, Sinorita Ahmad, 36, di perkarangan sekolah itu berkata, dia agak terkilan kerana ayahnya, Abdul Mutalib Embung tidak ada bersama-samanya untuk merai kejayaan itu kerana meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu.

Menurut anak sulung pasangan itu, ayahnya yang juga bekas anggota polis meninggal dunia selepas diserang strok.

''Ayah sudah lama menderita akibat strok itu bagaimanapun saya bersyukur kerana dapat menghadiahkan juga keputusan cemerlang kepada arwah ayah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Mohammad Muazam merupakan antara dua pelajar sekolah terbabit yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR bagi kawasan sekolah luar bandar di negeri ini selain N. Anusia dari sekolah yang sama.


Fatin Fazzrini ikut jejak abang, kakak

SETIU 30 Dis. - Fatin Fazzrini Marzuki mengulangi kejayaan cemerlang dua abang dan seorang kakaknya sebelum ini apabila memperoleh 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong itu bukan saja menjadi kebanggaan keluarganya, malah turut menempatkan dirinya sebagai antara 17 pelajar cemerlang di sekolahnya.

Sebelum ini, tiga adik-beradik Fatin Fazzrini iaitu Mohd. Amir Affiq, 20; Mohd. Amir Haffiq, 18, dan Fatin Sharmini, 17, turut mendapat 9A dalam PMR.

Ketika ditemui hari ini, Fatin Fazzrini mengakui risau jika tidak dapat mengulangi tradisi kejayaan abang dan kakaknya.

''Sekarang saya lega kerana dapat membanggakan ibu, ayah dan adik-beradik yang lain," ujarnya.

Sementara itu, ibunya, Sharifah Norsalma Abdullah, 44, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Mangkok di sini berkata, kejayaan empat orang anaknya yang mendapat 9A dalam PMR adalah berkat kesungguhan mereka dalam pelajaran.

Menurutnya, beliau dan suami sering memberi dorongan kepada anak-anak mereka supaya menumpukan perhatian dalam pelajaran.

''Saya tidak pernah memaksa anak-anak belajar sepanjang masa tanpa mengira waktu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Chalok, Penarik di sini hari ini.

''Sebaliknya saya lebih suka memberi kata-kata nasihat serta dorongan agar mereka lebih berminat untuk belajar sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Chalok, Penarik di sini hari ini.


Mimpi dapat 6A rupa-rupanya 9A

KOTA KINABALU 30 Dis. - Anak kepada pegawai pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini, Hanies Yuhana Othman, tidak menyangka berjaya mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), selepas bermimpi hanya mendapat 6A malam tadi.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, dia amat terkejut apabila melihat slip keputusannya yang mencatatkan gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Beliau mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Ekonomi Rumah Tangga, Bahasa Arab dan Pendidikan Islam.

"Saya sangat terkejut dan tidak sangka dapat 9A sebab malam tadi saya mimpi hanya dapat 6A," katanya ketika ditemui di Sekolah Maktab Sabah di sini hari ini.

Beliau yang bercita-cita menjadi akauntan memberitahu tumpuan penuh semasa guru mengajar dan melakukan perbincangan bersama rakan banyak membantunya mencatat keputusan yang baik dalam pelajaran.

Dalam pada itu, Norsyazwani Jamaludin yang turut mendapat 9A berkata, dia sentiasa mengamalkan belajar sehingga lewat malam dan selepas Subuh.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor pakar kanak-kanak juga sentiasa berdoa memohon kejayaan daripada Allah.


Belajar berkumpulan rahsia 8A

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Amalan belajar secara berkumpulan dan berterusan menjadi resipi utama kejayaan anak seorang dekan sebuah universiti, Norkhalizatul Akmal memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki itu, dia memang sentiasa berfikiran positif dan berharap untuk mendapat keputusan cemerlang.

"Saya rasa inilah hari yang paling menggembirakan. Saya sangat bersyukur kepada Allah di atas keputusan ini.

"Setiap hari, saya dan rakan-rakan akan belajar secara berkumpulan. Kami akan berbincang jika ada perkara yang tidak difahami.

"Terima kasih juga kepada semua guru yang tidak pernah jemu mengajar, kepada semua rakan-rakan yang sentiasa membantu dan paling istimewa kepada keluarga yang selalu memberikan galakan serta dorongan," katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini hari ini.

Anak kepada Dekan Fakulti Sains, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Jamil Ma'ah itu seterusnya memberitahu, dia menjadikan rakan-rakan dan guru sebagai rujukan utama jika menghadapi sebarang masalah dalam pembelajaran.

Ibunya, Norlaili Ahmad turut bersyukur dan gembira dengan keputusan yang diperoleh anaknya itu.

"Saya lihat dia memang mempunyai azam yang kuat untuk cemerlang dalam pelajaran. Dia juga sentiasa berfikiran positif dan mungkin sikap itulah yang membuatkan dia bertambah bersemangat untuk berjaya.

"Saya juga berharap agar dia memperoleh kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat," katanya lagi.


Sukan tak halang Haziq peroleh 8A

DUNGUN 30 Dis. - Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar di sini, Mohd. Haziq Azman, 15, membuktikan penglibatan dalam aktiviti sukan tidak menghalangnya untuk berjaya dalam pelajaran.

Remaja itu bukan saja muncul sebagai atlet dalam sukan tenis di sekolahnya malah dia juga memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 yang diumumkan hari ini.

Dia berjaya mendapat keputusan 8A dan sekali gus menempatkan dirinya sebagai salah seorang daripada 15 pelajar terbaik sekolah berkenaan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, remaja itu berkata, kejayaan tersebut bukan saja berkat daripada usahanya yang gemar mengulang kaji pelajaran dan juga melakukan solat hajat, tetapi juga adalah hasil usaha semua pihak termasuk guru-guru dan ibu bapanya.

"Mereka adalah sumber inspirasi saya selama ini. Tanpa dorongan mereka, mungkin saya tidak mampu memperoleh keputusan sebaik ini," ujarnya.

Pelajar yang berasal dari Kampung Sungai Buaya itu berkata, penglibatannya dalam sukan bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi dan ia tidak pernah mengganggu pelajarannya.

Menurutnya, ini terbukti apabila dia berjaya mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Bagi saya sukan adalah aktiviti yang baik dan wajib disertai setiap pelajar. Ini kerana selain meningkatkan kecergasan otak, ia juga mampu menjadikan kita berjaya hasil daripada disiplin tinggi yang diterapkan dalam aktiviti sukan tersebut," katanya.

Mohd. Haziq memberitahu, banyak kejayaan yang berjaya diraihnya sepanjang melibatkan diri dalam aktiviti sukan sekolah.

Jelasnya, antara kejayaan itu termasuk johan untuk dua tahun berturut-turut bagi acara tenis perseorangan dan beregu pada Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD).

Bagaimanapun menurutnya, kejayaan paling manis adalah apabila dia berjaya mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan bagi Kejohanan Majlis Sukan-sukan Sekolah Negeri (MSSN) 2008 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Meskipun tidak muncul juara, namun saya tetap gembira kerana itulah kejohanan peringkat tertinggi yang pernah saya sertai," katanya.


PMR: 1,317 pelajar NS peroleh A semua subjek

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
SEREMBAN 30 Dis. - Seramai 1,317 dari 17,662 pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 13 Oktober lalu mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Jamali Salam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 163 pelajar mendapat 9A, 915 pelajar mendapat keputusan 8A manakala selebihnya mendapat 7A.

Beliau berkata, sebanyak 11,355 orang berjaya mencapai tahap penguasaan minimum sekurang-kurangnya D dalam semua mata pelajaran yang diambil tahun ini.

''Ia sekali gus menjadikan keputusan peperiksaan tahun ini bertambah baik daripada segi kecemerlangan calon, Gred Purata Negeri (GPN) selain pencapaian tahap penguasaan minimum," katanya di sini hari ini.

Bagi mata pelajaran pula, Jamali berkata, sembilan daripada 16 mata pelajaran yang diambil oleh calon dari Sekolah Menengah Bantuan Penuh Kerajaan mencatatkan penguasaan minimum iaitu A, B, C, D melebihi 90 peratus.

''Ini termasuklah Pendidikan Islam 94.5 peratus, Sejarah (91.6), Bahasa Melayu (93.6) dan Geografi 90.4 peratus," katanya.

Mengenai mata pelajaran Bahasa Inggeris, Jamali berkata, berlaku peningkatan dalam keputusan calon yang lulus mata pelajaran itu iaitu 77.4 peratus berbanding 74.9 peratus tahun sebelumnya.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya akan sentiasa menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar dengan meletakkan sasaran yang telah ditetapkan secara realistik secara berpanjangan.


PMR: Dapat A semua subjek -1,377 pelajar di Pahang

KUANTAN 30 Dis. – Seramai 1,377 daripada 27,028 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 di Pahang mencatatkan keputusan A bagi semua mata pelajaran iaitu peningkatan sebanyak 94 pelajar berbanding tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 253 calon mendapat keputusan 9A manakala bagi keputusan 8A dan 7A, masing-masing 1,029 dan 95 calon.

‘‘Turut membanggakan apabila daripada keseluruhan calon peperiksaan PMR yang didaftarkan pada tahun ini, seramai 17,298 daripada mereka dilaporkan lulus dalam semua mata pelajaran.

‘‘Malah, pelajar yang memperoleh A dalam beberapa mata pelajaran tertentu juga meningkat dan ia bukti kualiti pendidikan yang diterap selama ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, daripada 1,377 pelajar yang memperoleh A bagi semua mata pelajaran itu, 61 daripada mereka adalah pelajar dari kawasan Felda dan ia juga satu perkembangan yang amat baik buat pelajar dikawasan tersebut.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 13 buah sekolah mencatat keputusan 100 peratus pada tahun ini dan bilangan tersebut menyamai jumlah sekolah yang mencatat keputusan 100 peratus pada tahun lalu.

Menurutnya, sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah, SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, SM Sains Sultan Ahmad Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, SMK Berasrama Penuh Integrasi dan SMK Sultan Abu Bakar.

Sekolah-sekolah lain ialah SMK Ahmad, SMK Seri Jengka, SMK Sultanah Hajjah Kalsom, SMK Seri Bentong, SMK Muadzam Shah, SMK Seri Pekan, SMK Jengka Pusat.

‘‘Pihak jabatan juga amat menggalakkan mana-mana pelajar yang berminat untuk menyertai sekolah teknik di sini supaya membuat permohonan bermula 3 Januari depan,” katanya.


PMR: Dapat A semua subjek -1,706 pelajar di Terengganu

KUALA TERENGGANU 30 Dis. – Sebanyak 1,706 atau 7.17 peratus daripada 23,805 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di negeri ini memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran negeri, Arifin Embong berkata, jumlah calon yang mendapat gred A menunjukkan peningkatan membanggakan berbanding 1,320 calon mendapat A tahun lepas.

‘‘Ini menunjukkan sistem pengajaran di negeri ini baik dan berjaya melahirkan semakin ramai murid cemerlang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, jumlah calon yang mencatatkan kelulusan minimum bagi semua mata pelajaran yang diambil tahun ini meningkat sebanyak 62.29 peratus iaitu 14,851 calon.

‘‘Jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu seramai 13,551 atau 61.45 peratus,” katanya.


41 anak petani, peneroka raih semua A

MARAN 30 Dis. - Seramai 41 pelajar yang terdiri dari anak pekebun kecil, petani dan peneroka Felda di daerah ini memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 yang diumumkan hari ini.

Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Rosdi Ismail berkata, dengan keputusan cemerlang itu, para pelajar terbabit membuktikan mereka setanding dengan pelajar lain di daerah Kuantan, Pekan dan Raub.

Beliau berkata, berdasarkan statistik keputusan PMR 2008 itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat mendahului sekolah lain apabila 10 pelajarnya memperolehi 9A dan empat orang mendapat 8A dalam semua subjek yang diambil.

''Kejayaan cemerlang SMK Jengka Pusat itu diharap menjadi dorongan kepada warga sekolah itu untuk mencatat keputusan yang lebih cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, sekolah lain yang turut mencatat keputusan cemerlang semua A bagi semua subjek ialah SMK Jengka 16 dan SMK 18 (dua pelajar), SMK Tengku Ampuan Afzan (tiga pelajar), SMK Jengka 6 dan SMK Desa Jaya (satu pelajar), SMK Maran (dua pelajar) dan SMK Jengka 2 (satu pelajar).

Sementara itu SMK Seri Jengka terus mengekalkan reputasinya apabila mencatatkan 11 calon mendapat 9A dan 4 calon memperoleh 8A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Katanya, SMK Seri Jengka turut memperoleh keputusan 100 peratus sejak beberapa tahun lepas dan menduduk rangking 10 sekolah terbaik di negeri Pahang.

Pengetua SMK Seri Jengka, Datin Fatimah Kasim menyifatkan kejayaan sekolah itu adalah hasil kerja kuat semua pihak termasuk guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIB)G, wakil rakyat dan pelajar.

''Bagaimanapun pihak sekolah akan berusaha lebih mantap supaya keputusan PMR 2009 lebih baik lagi,'' katanya.

0 Comments: