Carta Aliran Pembelajaran Berkesan

Carta Aliran Pembelajaran Berkesan

Wednesday, January 7, 2009

Apakah Bidang Yang Patut Anda Pilih?

Mengenang Dr M.K Rajakumar

 

Oleh Syed Hamid Ali

 

 

Dalam tahun-tahun 60an, saya pernah melalui satu tahap paling getir dan hampir-hampir putus asa dalam hidup.  

 

Selepas tamat sekolah menengah, saya bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.  Saya telah mendapat tempat di sebuah universiti di India.  Tetapi, hasrat tersebut tidak menjadi kenyataan kerana keadaan kewangan tidak mengizinkan, walaupun perbelanjaannya jauh lebih murah daripada sekarang.  

 

Dalam keadaan demikian, saya mengambil keputusan pergi ke Kuala Lumpur untuk bersama dengan abang yang sedang melanjutkan pelajaran untuk ijazah Sarjana di Universiti Malaya.  

 

Secara beransur-ansur, rupanya ramai sahabat dan teman abang saya tadi, Syed Husin, menjadi kenalan saya juga.  Salah seorang daripada mereka ialah Dr M.K Rajakumar.  

 

Rajakumar seorang doktor muda di Hospital Besar Kuala Lumpur.  Beliau sangat prihatin terhadap masalah yang saya hadapi kerana tidak dapat meneruskan pelajaran sains.   

Pada suatu hari, dia mengajak saya berbual-bual agak lebih panjang daripada biasa.  Antara lain katanya, “Hamid, saya ini seorang doktor.  Saya harap awak boleh fikirkan satu perkara: Tambah seorang doktor belum tentu boleh mendatangkan apa-apa perubahan kepada rakyat.  

“Tetapi, kalau dia seorang pembuat dasar yang jujur dan betul-betul memahami akan keperluan rakyat, perubahannya tentu besar sekali; tak kiralah sama ada dia doktor ataupun bukan!” tambahnya. 

 

Begitulah saranan Rajakumar kepada saya kira-kira 45 tahun yang silam.  

Pada mulanya saya tidak memahami maksud sebenar yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut.  Tetapi, apabila sudah mengerti akan kebijaksanaannya, barulah ia beransur-ansur terpahat dan lekat di kepala saya yang keras ini.  

Dr M.K Rajakumar meninggal dunia pada 22 November lepas; ketika itu usianya 76 tahun.  Terakhir saya bertemu beliau waktu menziarahinya bersama-sama Syed Husin, Timbalan Presiden keADILan, di sebuah hospital di Petaling Jaya beberapa bulan yang lalu.  

 

Waktu itu dia sedang tidur, tetapi terjaga apabila mendengar suara kami sedang bercakap perlahan-lahan dengan kedua-dua orang anak wanitanya – Kiren dan Sunita.  

“Dah lama datang…..?” sambil mengucapkan terimakasih kepada kami berdua.  

Sambungnya lagi, “Apa kabar Sabariah dan anak-anak?”

 

“Terima kasih.  Mereka semua kirim salam,” jawab Syed Husin sambil menyentuh bahagian kakinya. 

 

Siapa yang ada di situ tentu akan terharu melihat betapa rapat dan dalamnya perasaan persaudaraan antara dua rakan seperjuangan lama yang karib itu.  

Kemudian, dia bertanya saya kabar dan “apa buat sekarang?”.  Saya faham benar maksud pertanyaan itu.   Tetapi, apabila lambat saya menjawabnya, dia lantas berkata, ”Hamid, dalam politik orang tak tunggu dijemput….”   

Saya mengangguk-angguk tanda setuju.  Jelas kepada saya cara dia melihat politik masih tetap seperti di zaman mudanya.  

 

Agaknya, tidak ramai generasi muda hari ini yang tahu tentang Rajakumar walaupun kepergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada Malaysia.  

Dr M.K Rajakumar dilahirkan di Melaka pada 25 Mei, 1932.  Dari Sekolah Tinggi Melaka, beliau mendapat scholarship negeri untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan di Universiti Malaya di Singapura.  Di sana, bakat kepimpinannya terserlah.   Bersama beberapa orang mahasiswa progresif, beliau telah mendirikan Kelab Sosialis dan menjadi Presidennya pada tahun 1954/55.  Di samping itu, dia juga pernah terpilih menjadi ahli Majlis Mahasiswa.  

 

Kelab Sosialis terkenal kerana terang-terang menentang penjajah British dan menuntut kemerdekaan Malaya. 

 

Pada 28 Mei 1954, Inggeris telah menangkap lapan orang sidang pengarang Fajar. Pihak pemerintah mendakwa kononnya artikel ‘Pencerobohan di Asia’ yang tersiar dalam penerbitan bulanan Kelab tersebut bersifat menghasut.  Rajakumar adalah di antara yang tertuduh; beliau juga merupakan penulis utama artikel tersebut.  Di waktu yang sama, nama Lee Kuan Yew juga naik kerana kes ‘Fajar- 8’ itu.  

 

Setelah tamat belajar, Rajakumar meneruskan penglibatan politiknya dalam Parti Buruh Malaya (PBM). Nama beliau terletak sebaris dengan nama tokoh-tokoh Sosialis Fron yang lain seperti Ahmad Boestamam, Pak Sako, Dr Tan Chee Khoon, V. David, Karam Singh, Hasnul Hadi, Tajudin Kahar dan lain-lain. 

Pada tahun 1966–69, Rajakumar dipenjarakan di bawah ISA.

 

Apabila PBM terpaksa menutup pintunya akibat tekanan dan penangkapan yang bertubi-tubi oleh Perikatan,  Rajakumar segera mengalih tumpuannya ke bidang ilmu dan kesihatan.

 

Pada tahun 1979–80, beliau menjadi Presiden Persatuan Perubatan Malaysia; Presiden Persatuan Saintifik Malaysia (1981–83); dan Presiden World Organisation of National Colleges, Academies and Academic Associations of Family Physicians (1986–1989).

 

Berlatarbelakangkan semua ini, saya merasa sangat bertuah kerana dapat berkenalan dengan Dr M.K Rajakumar – seorang patriot dan intelektual rakyat yang ulung.  Malahan, saya juga terhutang budi kepadanya.

 

Sekitar 1974,  ketika pemimpin-pemimpin pelajar, pensyarah dan tokoh-tokoh politik diburu ISA, Rajakumar mengambil saya sebagai ‘tetamu’ yang berisiko di rumahnya.  Selama beberapa minggu saya diberikan layanan terbaik – cukup makan, cukup bahan bacaan.  Selama 24 jam dalam sehari saya mengisi masa dengan berfaedah; tidak sedikitpun saya merasa bimbang tentang keselamatan.

 

Apabila ada keperluan, dia sendirilah yang membawa saya keluar lewat tengah malam ke tempat-tempat yang telah dijanjikan.  Kemudian, dia datang lagi untuk membawa saya pulang. Beliau tidak pernah menyerahkan tanggungjawab ini kepada orang lain – sungguh luarbiasa!

 

Pada tahun 1976, saya terpaksa meninggalkan tanahair tercinta ini atas faktor keselamatan.  (Selama 15 tahun saya berkelana di negeri orang tanpa dokumen perjalanan kerana pasport saya telah dirampas di Subang sebelum sempat menaiki kapalterbang untuk ke Australia/New Zealand atas jemputan pertubuhan mahasiswa di sana.)

 

Saya masih ingat pesan Rajakumar sehari sebelum saya menyeludup ke luar negeri: “Hamid, yakin pada perjuangan; jaga keselamatan….”   Dengan itu kamipun berpisah buat sementara sebelum bertemu semula pada tahun 1991.

 

Kini, Dr M.K Rajakumar sudah pergi buat selama-lamanya.  Saya kurang seorang tokoh yang sangat saya hormati dan kagumi.   Tetapi, negara kehilangan seorang patriot dan pejuang bangsa yang sukar ditandingi.

 

Namun begitu, kita tetap bernasib baik kerana putera bangsa ini telah lebih dahulu merintis jalan, meredah duri dan ranjau untuk kita meloloskan diri dalam perjuangan yang berliku-liku dan masih jauh perjalanannya.

 

Terimakasih Rajakumar; terimakasih sekali lagi.  Jasamu tetap dikenang!

 

8 Disember, 2008

 

0 Comments: